Aluan Naib Canselor UTeM

Landskap pendidikan tinggi di seluruh dunia pada hari ini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran besar. Universiti sebagai institusi pendidikan yang penting, dituntut untuk memenuhi kehendak dan keperluan sezaman khususnya dalam soal melahirkan insan berkualiti dan berketerampilan tinggi selain meletakkan usaha berterusan dalam penjanaan ilmu demi kepentingan manusiawi sejagat. Sejajar dengan cabaran masa kini yang semakin kompleks khususnya di era Revolusi Industri 4.0, peranan ahli akademik perlulah diperluas dan dipertingkatkan.

Ahli akademik yang berkualiti bukan sahaja mampu memberikan ilmu, malah berupaya mencerna pemikiran yang tepat dan bijaksana yang menjadi suluhan hidup kepada mahasiswa. Lebih dari itu, ahli akademi yang cemerlang sentiasa bersemangat dalam meneruskan usaha-usaha penerokaan ilmu-ilmu baharu yang dapat memperkasakan lagi peranan Universiti untuk terus kekal relevan dengan perubahan masa kini selain terlibat secara langsung memberi sumbangan terhadap pembangunan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Dalam merealisasikan hasrat murni ini, semangat kesepunyaan dan keserakanan khususnya  di kalangan ahli akademik hendaklah dibentuk. Antara platform terbaik dalam menyemai nilai-nilai murni ini adalah menerusi penglibatan dalam berpersatuan. Persatuan Staf Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka atau UTeMASA merupakan platform terbaik dalam mengumpulkan semua ahli akademik UTeM untuk bersama-sama mengorak langkah demi pembentukan serta pembangunan pendidikan tinggi Negara yang lebih cemerlang. UTeMASA juga dilihat amat signifikan dalam mengukuhkan lagi ukhwah dan keakraban sesama ahli akademik UTeM selain berfungsi penting dalam menjaga aspek kebajikan ahli akademik Universiti.

Pihak Universiti senantiasa memberikan sokongan penuh terhadap segala usaha murni UTeMASA  dan berharap agar persatuan ini  memainkan peranan yang proaktif dan dinamik dalam penyatuan serta kebersamaan ahli akademik UTeM, secara langsung bersama-sama UTeM merintis dan menerajui pendidikan tinggi teknikal serta mencapai visi dan misi Universiti tercinta ini.

 

Sekian, terima kasih.

PROFESOR Ts. DR MASSILA BINTI KAMALRUDIN
Naib Canselor
Universiti Teknikal Malaysia Melaka