Ucapan Presiden UTeMASA
AssalamualaikumWr. Wbth. dan Salam sejahtera
Â
PERSATUAN STAF AKADEMIK UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA (UTeMASA) adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada April 2015. UTeMASA dikategorikan sebagai sebuah NGO akademik yang memfokuskan kepada isu-isu berkaitan kebajikan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Antara tujuan penubuhan adalah menjaga kebajikan ahli akademik universiti awam sepanjang kerjaya mereka dan selepas bersara, meningkatkan profesionalisme kakitangan akademik dalam pengajaran, penyelidikan dan kepimpinan, serta bekerjasama menjayakan polisi kerajaan untuk kecemerlangan akademik negara.
Dalam dunia akademik semua perkara yang dibincangkan mestilah merujuk kepada ilmu asas dan pembangunan ilmu untuk tujuan tertentu mengikut bidang kepakaran yang ada. Adalah menjadi tugas pemimpin universiti berkenaan memahami keperluan masa hadapan negara dan merancang pembangunan ilmu serta kepakaran di universiti masing-masing mengikut fokus dan kekuatan universiti selaras dengan keperluan negara.
Semua bidang perlu dilihat misalnya daripada kecukupan makanan negara, sosio-ekonomi masyarakat, kesihatan masyarakat, teknologi dan sistem berkaitan, pembangunan sumber manusia bidang berkaitan, isu alam sekitar hinggalah kepada keperluan kepelbagaian biologi negara. Kita akan dapati banyak konflik dalam membuat keputusan dan pengurusan negara sekiranya pembangunan ilmu, kepakaran dan memasyarakatkan ilmu tidak berlaku dengan baik.
Bagi penemuan yang baharu dan data yang baik dikongsikan juga melalui penerbitan jurnal tempatan dan antarabangsa. Ahli akademik berlumba untuk menerbitkan hasil penyelidikan dalam jurnal terkemuka kerana mendapat perhatian ramai. Dengan ramai ahli yang membaca dan merujuk maka jaringan baharu dapat diwujudkan dan pembangunan ilmu dapat berlaku dengan cepat. Kita perlu lebih ramai pensyarah menulis dan menerbitkan dalam jurnal popular dan berpengaruh. Tugas pensyarah mengajar, membimbing pelajar, menjalankan penyelidikan dalam bidang mereka, menerbitkaan makalah dan memasyarakatkan ilmu akan memajukan sesuatu bidang, menyumbang kepada masyarakat dan negara. Tugas yang kompleks dan murni ini semestinyalah dihargai dan mendapat ganjaran sepatutnya. Segala laluan untuk ahli akademik terus berjaya samada dalam bentuk prosedur atau birokrasi yang mudah, kenaikan pangkat dan lain-lain bentuk penghargaan serta pengiktirafan perlukan diberikan oleh pihak berkenaan.
PROFESOR IR DR. BADRUL HISHAM AHMAD
PERSATUAN STAF AKADEMIK UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA (UTEMASA)
19 JUNE 2024